RASIONAL : Istiadat Pesta Konvokesyen Ke-11 Sidang Ke-2

Assalamualaikum SWT dan Salam Sejahtera.

Saban tahun, setiap universiti harus mengadakan Istiadat Pesta Konvokesyen bagi meraikan semua graduan universiti yang telah menamatkan pengajian dalam kursus-kursus tertentu. Namun di UPSI, fenomena ia agak berlainan sedikit kerana hampir 99% graduannya akan menjawat jawatan sebagai DG41 (Guru Sandaran Terlatih) di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Justeru, bagi melayakkan graduan UPSI mendapatkan penempatan, graduan perlu mendapatkan selembar transkrip yang telah disahkan oleh Mesyuarat Senat UPSI.

Penganalis sempat menghubungi rakan penganalisis di Bahagian Akademik UPSI. Menurut sumber tersebut, mahasiswa sepatutnya membezakan antara transkrip senat dan ijazah (skroll). Jika dahulu, mahasiswa perlu mendapatkan skroll ijazah terlebih dahulu sebelum dipanggil temuduga oleh KPM, namun selepas diperjuangkan oleh MPP (Seingat saya, zaman kepimpinan Saudara Izwan Shahril), pihak UPSI sedia melaksanakan istiadat konvokesyen pada bulan Mac bagi pengambilan pelajar pada bulan Disember untuk mengelakkan graduan UPSI yang telah tamat latihan mengajar di sekolah pada bulan Oktober terpaksa menunggu sehingga bulan Ogos tahun hadapannya semata-mata untuk mendapatkan skroll Ijazah. Jadi, bilakah graduan ini akan ditempatkan di sekolah? Justeru, penganjuran istiadat pada bulan Mac adalah sangat relevan dan bertepatan pada masa tersebut.

Sedangkan pantai boleh berubah disebabkan ombak menghempas, apatah lagi manusia dan dasarnya. Rakan penganalisis di Bahagian Sumber Manusia KPM menyatakan, KPM hanya memerlukan transkrip yangg telah mendapat kelulusan dan pengesahan Senat Universiti bagi melayakkan graduan tersebut untuk dipanggil temuduga dan diberikan penempatan sekolah. Jadi, skroll itu adalah sebagai simpanan atau "lesen" bagi membuktikan sebagai graduan UPSI pemegang Ijazah tersebut. Transkrip akan dikeluarkan oleh Mesyuarat Senat Universiti selepas taman latihan mengajar di sekolah. Transkrip tersebut akan dihantar oleh Bahagian Akademik UPSI ke KPM.

Kini, penganalisis ingin melontarkan persoalan kepada anda, adakah relevan konvokesyen pada Bulan Mac? Pada pendapat penganalisis, jika pihak universiti dalam langkah berjaga-jaga dalam perbelanjaan dan berjimat-cermat, penganalisis ingin mencadangkan agar Istiadat kovokesyen hanya dilaksanakan hanya setahun sekali iaitu pada bulan Ogos. Rasionalnya, graduan pengambilan Disember masih akan dipanggil temuduga hanya dengan transkrip yang dikeluarkan oleh Bahagian Akademik dan mereka akan mendapat penempatan sekolah terlebih dahulu sekitar bulan Mei ataupun Jun. Manakala graduan pengambilan Julai akan tamat latihan mengajar pada penghujung April dan akan dipanggil temuduga pada bulan Julai atau Ogos. Mereka akan mendapat penempatan pada sekitar bulan Oktober atau November. Justeru, adalah tidak menjadi masalah kepada mana-mana graduan yang bakal bergraduat sama ada pengambilan Julai dan pengambilan Disember.


Berkenaan penganjuran Istiadat Pesta Konvokesyen Ke-11 sidang Ke-2 ia akan pelik kerana penganalisis hanya mendapat informasi secara tidak rasmi melalui portal UPSI, buat pertama kalinya istiadat konvokesyen tersebut akan disambut pada bulan Disember. Bagi penganalisis perubahan adalah baik namun penganalisis ingin meminta pihak-pihak yang sepatutnya mengkaji semula baik dan buruk penganjuran istiadat pada bulan Disember. Apa yang pelik pada ruangan forum di portal UPSI, masing-masing pelajar semester 7 dan semester 8 berbalah sesama sendiri disebabkan pelajar semester 7 tidak berpuas hati sekiranya istiadat diadakan pada bulan Ogos 2009 manakala pelajar semester 8 tidak bersetuju untuk diadakan istiadat pada bulan Disember 2009. Lazimnya, penganalisis melihat simptom-simptom ini wujud kerana masing-masing mempunyai kepentingan sendiri tanpa mengetahui rasional sebenar penganjuran istiadat pada bulan 12. Menurut memo rasmi yang dikeluarkan oleh Bahagian Akademik UPSI, istiadat konvokesyen sidang 2 dianjurkan bagi memberi pengijazahan kepada pelajar kemasukan Julai 2005/2006 yang sepatutnya diadakan pada bulan Ogos 2009. Perubahan tarikh istiadat konvokesyen kemungkinan disebabkan oleh faktor Bulan Ramadhan yang jatuh pada 21 atau 22 Ogos 2009. Tetapi seingat penganalisis tarikh istiadat yang telah dianjurkan pada tahun-tahun sebelum ini adalah pada pertengahan Bulan Ogos dan sekiranya istiadat diteruskan seperti tahun-tahun lepas, maka bagi penganalisis tidak ada masalah yang timbul. Walaupun, ketika itu adalah bukan musim cuti persekolahan, bagi penganalisis, ia bukan faktor utama untuk menunda tarikh istiadat pada Bulan Disember.

Daripada pengamatan penganalisis menerusi ruang forum Portal UPSI, pelajar semester 7 (ambilan Disember 2005/2006) melihat penundaan tarikh istiadat konvokesyen ke Bulan Disember ini sebagai satu kesempatan untuk mereka turut serta untuk bergraduasi pada bulan Disember bersama-sama dengan senior di semester 8.

Inilah sebenarnya isu yangg ditimbulkan dan menjadi perbualan hangat sehingga kini yang menjadi perbalahan di UPSI portal. Rasional pelajar-pelajar semester 7 berjuang untuk mendapatkan ruang untuk turut bergraduasi pada bulan Disember adalah kerana mereka telah selesai ataupun tamat menjalani latihan mengajar di sekolah.

Justeru, penganalisis berpendapat adalah tidak adil kerana pelajar-pelajar ambilan Julai 2005/2006 terpaksa menunggu sehingga 8 bulan manakala pelajar-pelajar ambilan Disember 2005/2006 hanya menunggu hanya sebulan untuk bergraduat. Selain itu, sekiranya pelajar ambilan Disember 2005/2006 masih berkeras untuk menganjurkan istiadat pada bulan Disember, anda seharusnya memikirkan impak-impak yang bakal dihadapi. Contohnya, dari aspek penginapan graduan dan keluarga di sekitar Tanjong Malim, kemampuan kampus yang kecil untuk menampung bilangan graduan yang ramai, nasib penggerai-penggerai yang mencari rezeki kerana mahasiswa sedang bercuti, aspek penganjuran pesta konvokesyen dari segi tenaga pelaksana dan AJK, persiapan untuk menyambut kemasukan pelajar baru ambilan Disember 2009/2010, kekurangan jubah untuk bergraduasi kerana bilangan graduan hampir 5000 graduan dan aspek jangka masa yang panjang.

Penganalisis mengambil kesempatan ini untuk mencadangkan dan meletakkan inisiatif lain agar kita mengikut aturan yang telah ditetapkan oleh UPSI kerana ia masih relevan pada saat ini iaitu menganjurkan 2 kali sidang untuk satu tahun. Namun, sekiranya pihak universiti melihat perkara ini diperlukan perubahan, maka penganalisis mencadangkan agar istiadat hanya diadakan setahun sekali sahaja sekiranya bilangan graduan UPSI semakin berkurangan pada masa hadapan dan tahun-tahun akan datang adalah tidak menjadi kekangan untuk istiadat dianjurkan setahun sekali. Penganalisis menyarankan agar pihak UPSI bersiap sedia bagi menghadapi kekangan-kekangan seperti yang dinyatakan di atas sekiranya istiadat diadakan hanya sekali setahun.


Penganalisis : Bagi meredakan ketegangan ini, penganalisis ingin merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada bakal graduan yang akan bergraduasi pada pertengahan Mac ini. Semoga mampu menjadi guru yang bitara dan mampu mendidik anak bangsa menjadi modal insan cemerlang yang akan menerajui tampuk kepimpinan negara.

0 comments:

Post a Comment