Apa sudah jadi MSK Julai 2009/2010?

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera.

Seperti post penganalisis sebelum ini berkenaan isu SMS Kecoh!, kini lain pula halnya. Rentetan daripada perselisihan daripada beberapa puak di dalam SMS, Minggu suai kenal pada kali ini nampaknya telah membuat perubahan besar. Tidak seperti MSK yang lepas, MSK kali ini hanya berlangsung 4 hari sahaja. Namun itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan penganalisis kerana UPSI terpaksa menerima 2 kali kemasukan pelajar iaitu Ijazah Sarjana Muda Pendidikan yang dijadualkan tamat MSK pada 2 Julai 2009 manakala Pelajar Diploma Pendidikan akan mula berdaftar esok.

Apa yang sudah jadi MSK Julai 2009/2010? Apa yang cuba penganalisis sampaikan adalah beberapa slot utama terpaksa digugurkan pada MSK kali ini seperti Slot Bersama Pemimpin, Slot Membina Jati Diri Mahasiswa bersama Biro Tatanegara (BTN) dan malam kemuncak MSK iaitu, Malam Bintang yang memberi ruang kepada mahasiswa mengetengah bakat-bakat mereka.

Slot Bersama Pemimpin:
Memberi sumber inspirasi, motivasi, nasihat serta panduan kepada mahasiswa baru bagi menjalani kehidupan di kampus. Disamping menyampaikan hasrat kerajaan dalam melahirkan guru-guru yang bitara, mahasiswa juga akan diberitahu peranan mereka dalam masyarakat pada masa hadapan. Dengan adanya pemimpin yang sanggup "turun padang", ia akan mencetuskan sumber inspirasi kepada semua mahasiswa untuk lebih berjaya.

Slot Membina Jati Diri Mahasiswa bersama Biro Tatanegara (BTN)
Terdengar sahaja ungkapan BTN, segelintir mahasiswa membayangkan ia agen parti politik. Terlalu jumud pemikiran mereka ini. Namun sedarkah kita bahawa peranan BTN adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat amnya dan mahasiswa khasnya berkenaan negara Malaysia yang kita cintai. Mesej yang ingin disampaikan adalah seperti isu-isu semasa dalam dan luar negara, isu perpaduan kaum, patriotisme, wawasan negara, peranan serta tanggungjawab rakyat dan sebagainya. Segala input ini digabungjalinkan bagi memperkasa jiwa mahasiswa dan akhirnya melahirkan masyarakat madani yang berjati diri.

Slot Malam Bintang
Kenangan Minggu Suai Kenal amat bermakna kerana itu adalah saat pertama melangkahkan kaki ke menara gading sebagai mahasiswa. MSK membosankan? Mungkin itu adalah antara topik perbualan mahasiswa-mahasiswi baru setelah "disumbatkan" dengan pelbagai taklimat dan ceramah. Ya, memang unsur akademik dititik beratkan, namun unsur-unsur bukan akademik seperti sukan, aktiviti kebudayaan dn kerohanian juga perlu diterapkan bagi melahirkan insan yang holistik dalam segala aspek. Malam Bintang adalah malam kemuncak bagi mahasiswa menonjolkan bakat mereka disamping UPSI berpeluang mencari pelapis-pelapis baru dalam bidang kesenian. Hiburan berlebihan. Mungkin itu adalah alasannya. Namun bagi penganalisis, hiburan itu tidak salah selagi ia tidak melalaikan dan melekakan. Persembahan juga boleh juga berbentuk kerohanian seperti nasyid dan berzanji. Jadi itulah peranan SMS untuk memastikan hiburan yang dipersembahkan pada Malam Bintang terkawal dan diselia sebaik mungkin serta memberi impak positif kepada mahasiswa. Pergaulan lelaki perempuan dititikberatkan dan segala unsur-unsur persembahan ditapis.


Penganalisis: Kepada semua SMS yang telah berkhidmat, jasa anda amat dihargai. Segala kekurangan MSK kali ini dijadikan pedoman dan iktibar pada masa-masa akan datang. Semoga UPSI terus cemerlang!

0 comments:

Post a Comment